Friday 31 January 2014

Act

Time management

"You will never find time for anything. If you want the time, you must make it." -- Charles Buxton

Didik anak

Kasih Ayah

Seorang pemuda duduk di hadapan laptopnya. Login facebook. Benda pertama sekali dia check adalah inbox. Hari ini dia terlihat sesuatu yang dia terlepas pandang selama ini. Bahagian 'OTHER' di inboxnya. Ada satu, dua mesej. Mesej pertama, spam. Mesej kedua dibukanya. Mesej 3 bulan yang lepas tarikhnya.

Ditatap isinya,

"Salam.

Ini kali pertama abah cuba guna facebook. Abah cuba tambah kamu sebagai kawan tapi tak dapat. Abah pun tak faham sangat benda ni.

Abah cuba hantar mesej ini kepada kamu. Maaf, abah tak biasa sangat menaip. Ini pun kawan abah yang ajarkan.

Ingat tak bila pertama kali kamu ada henfon? Masa tu kamu tingkatan 4. Abah kesian semua anak-anak sekarang ada henfon. Jadi, abah hadiahkan pada kamu satu. Dengan harapan, kamu akan call abah kalau kamu ada nak kongsi masalah tentang asrama atau sekolah atau apa-apa saja. Tapi, kamu hanya call abah seminggu sekali. Tanya tentang duit makan dan belanja. Abah terfikir juga, topup RM10 tapi call abah tak sampai 5 minit boleh habis ke prepaid tu?

Masa kamu kecil dulu, abah ingat lagi bila kamu dah boleh bercakap. Kamu asyik panggil, 'Abah, abah, abah'. Abah seronok sekali anak lelaki abah panggil abah. Panggil mama. Abah seronok dapat bercakap dengan kamu walaupun kamu mungkin tidak ingat dan tak faham apa abah cakapkan di umur kamu 4, 5 tahun. Tapi, percayalah. Abah dan mama cakap dengan kamu banyak sangat. Kamulah penghibur kami di saat kami berduka. Walaupun hanya dengan keletah gelak tawa si kecil.

Bila kamu sekolah rendah. Abah ingat lagi kamu selalu bercakap dengan abah ketika membonceng motor dengan abah setiap pergi dan balik sekolah. Macam-macam kamu ceritakan pada abah. Tentang cikgu, sekolah, kawan-kawan. Abah jadi makin bersemangat bekerja keras cari duit untuk biaya kamu ke sekolah. Sebab kamu seronok sekali. Gembira. Ayah mana tidak gembira anak suka ke sekolah belajar.

Bila kamu sekolah menengah. Kamu ada kawan-kawan baru. Kamu balik dari sekolah, kamu masuk bilik. Kamu keluar bila masa makan. Kamu keluar dengan kawan-kawan. Kamu mulai jarang bercakap dengan abah. Kamu pandai. Akhirnya masuk asrama. Di asrama, jarak antara kita makin jauh. Kamu cari kami bila perlu. Kamu biarkan kami bila tak perlu.

Abah tahu, naluri remaja. Abah pun pernah muda. Akhirnya, abah dapat tahu kamu ada kekasih. Ketika di universiti, sikap kamu sama sahaja ketika di sekolah menengah. Jarang hubungi kami. Bila balik cuti, kamu dengan henfon kamu. Kamu dengan laptop kamu. Kamu dengan internet kamu. Kamu dengan dunia kamu. Abah tertanya-tanya juga sendiri. Adakah kawan istimewa itu lebih penting dari abah dan mama? Adakah abah dan mama cuma diperlukan bila kamu nak nikah sahaja sebagai pemberi restu? Adakah kami ibarat tabung pada kamu sahaja?

Hakikatnya, kamu jarang berbicara dengan abah lagi. Ada pun boleh dibilang dengan jari. Berjumpa tapi tak berkata-kata. Sebumbung tapi seperti tak bersua. Bertegur bila cuma hari raya. Tanya sepatah, jawab sepatah. Dileter, kamu tarik muka. Dimarah, kamu tak balik cuti.

Malam ni, abah sebenarnya rindu sangat pada kamu.

Bukan mahu berleter, mengungkit atau membangkit. Cuma abah dah terlalu tua. Abah dah di hujung 60 an. Kudrat abah tidak sekuat dulu lagi.

Abah tak minta banyak...

Kadang-kadang, abah cuma mahu kamu berada di sisi abah. Berbicara tentang hidup kamu. Luahkan apa yang terpendam dalam hati kamu. Menangis pada abah. Mengadu pada abah. Bercerita pada abah seperti kamu kecil-kecil dulu.

Apapun. Maafkan abah atas curahan hati abah ini.

Jagalah solat. Jagalah hati. Jagalah iman.

Mungkin kamu tidak punya waktu berbicara dengan abah. Namun, jangan pula kamu tidak punya waktu berbicara dengan Tuhan. Usah letakkan cinta di hati pada seseorang melebihi cinta kepada Tuhan. Mungkin kamu terabaikan abah. Namun jangan kamu mengabaikan Tuhan.

Maafkan abah atas segalanya."

Pemuda menitiskan air mata. Dalam hati perit tidak terkira. Mana tidaknya. Tulisan ayahandanya itu dibaca setelah 3 bulan beliau pergi buat selama-lamanya. Di saat tidak mungkin lagi mampu memeluk tubuh tua ayahnya.

Wednesday 29 January 2014

Umur 40

Assalamu’alaikum,
Ramai tidak sedar dalam al-Quran ada menyentuh tentang usia ini. Tentu ada yang sangat penting, perlu diperhatikan dan diambil serius akan perkara ini. Allah swt. berfirman,

حَتَّى إَذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِى أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِى إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ

"Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)

Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.

Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah

Pada ayat yang lain, firman Allah;

أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيْهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيْرُ

Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan?   (al-Fathir: 37)

Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.

Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh2.

Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya)  Kematangan.

Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:

“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (riwayat al-Bukhari).
Nabi Muhammad saw. diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi2 yang lain, kecuali Nabi Isa as. dan Nabi Yahya as.

Banyak negara menetapkan untuk menduduki jabatan2 elit seperti ketua negara, disyaratkan bakal calon harus telah berusia 40 tahun. Masyarakat sendiri mengakui prestasi seseorang mantap tatkala orang itu telah berusia 40 tahun. Soekarno menjadi presiden pada usia 44 tahun. Soeharto menjadi presiden pada umur 46 tahun. J.F. Kennedy 44 tahun. Bill Clinton 46 tahun. Paul Keating 47 tahun. Sementara Tony Blair 44 tahun.

Mengapa umur 40 tahun begitu penting.

Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period, iaitu
1. Kanak-kanak ( sejak lahir hingga akil baligh )
2. Muda atau syabab ( sejak akil baligh hingga 40 tahun )
3. Dewasa ( 40 tahun hingga 60 tahun )
4. Tua atau syaikhukhah ( 60 tahun hingga mati )

Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama. Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.

Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah saw.,

لعَبْدُ الْمُسْلِمُ إِذَا بَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً خَفَّفَ اللهُ تَعَالَى حِسَابَهُ ، وَإِذَا بَلَغَ سِتِّيْنَ سَنَةً رَزَقَهُ اللهُ تَعَالَى الْإِنَابَةَ إِلَيْهِ ، وَإِذَا بَلَغَ سَبْعِيْنَ سَنَةً أَحَبَّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ، وَإِذَا بَلَغَ ثَمَانِيْنَ سَنَةً ثَبَّتَ اللهُ تَعَالَى حَسَنَاتِهِ وَمَحَا سَيِّئَاتِهِ ، وَإِذَا بَلَغَ تِسْعِيْنَ سَنَةً غَفَرَ اللهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ وَشَفَّعَهُ اللهُ تَعَالَى فِى أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَكَتَبَ فِى السَّمَاءِ أَسِيْرَ اللهِ فِى أَرْضِهِ – رواه الإمام أحمد

"Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi. (riwayat Ahmad)

Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah swt. sekaligus konsisten terhadap Islam, maka Allah swt. akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati2 juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja. Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dpt mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”

Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahwa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa2 syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syara’ lazim bagiku. Di antara aku dan dia ada Allah.”

Lantas, apa yang harus kita lakukan   menginjak usia 40 tahun?
1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.

Jika ada yang mengatakan bahawa: Life began at forty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya. Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.

Maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W ," Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati".

Ramai manusia tertipu dengan keindahan dunia dan isinya yang bersifat sementara. Sejak Nabi Adam as. sehingga kini, kesemuanya telah kembali kepada Allah swt. tidak kira kaya atau miskin, berpangkat atau tidak. Mengingati mati bukan bermakna kita akan gagal di dunia tetapi dengan mengingati mati kita akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. janganlah menunggu sehingga esok untuk membuat persediaan menghadapi kematian, kerana mati boleh datang pada bila-bila masa..

Wallahu a’lam